Monday, November 18, 2024

PERJALANAN HIDUP SEBAGAI SEORANG PEGUAM

 Assalamualaikum,


Telah lama aku tinggalkan penceritaan perjalanan hidup aku di blog ini.  Terlalu banyak ingin aku coretkan dan abadikan di dalam blog kesayangan aku ini, ia bagaikan diari kehidupan yang telah lama aku tinggalkan, tidak tahu kenapa tapi yang pasti tahun 2022 adalah tahun terakhir aku berkhidmat dan bekerja sebagai seorang peguam hartanah setelah 20 tahun. Pengalaman duduk di kerusi seorang peguam bukanlah mudah, yang penting kekuatan mental untuk mengharungi pelbagai cabaran dalam menyelesaikan sesuatu kes yang mendatang. Coretan ini adalah tentang kisah hidup aku, mungkin jauh berbeza dengan kisah hidup peguam-peguam tersohor di luar sana. Yang baik ambillah sebagai teladan dan yang tidak bermanfaat jadikanlah sebagai sempadan.


Setelah berakhirnya peperiksaan SPM aku melanjutkan pelajaran sebagai seorang pelajar matrikulasi di dalam matrikulasi undang-undang di salah sebuah universiti tempatan di ibu negara. Ketika itu tiada kemudahan teknologi seperti sekarang, di mana segala maklumat boleh didapati di hujung jari sahaja. Ketika itu aku sendiri tidak pasti kursus apa yang paling sesuai untuk aku mohon kemasukan ke universiti. Guru kaunseling aku menasihati aku memohon kursus undang-undang berdasarkan keputusan SPM aku ketika itu dan aku bersetuju kerana merasakan ia paling sesuai dengan jiwa aku yang suka membaca buku. 


Setelah menjalani tempoh dua tahun matrikulasi, kemudian aku diterima sebagai pelajar Fakulti Undang-Undang untuk tempoh empat tahun pula. Perjalanan dirasakan panjang, ratusan kes perlu dihafal dan diingati. Ada yang gagal di pertengahan jalan tetapi ramai yang tetap meneruskan sehingga ke akhir jalan. Aku bersyukur aku berjaya menamatkan perjalanan yang penuh liku-liku itu pada tahun 2000. Tetapi disebabkan mengenangkan kelelahan menuntut ilmu selama 6 tahun itu, aku mengambil keputusan untuk berehat selama satu tahun selepas majlis graduasi. Kerehatan yang aku maksudkan bukanlah balik kampung dan goyang kaki tanpa melakukan apa-apa, tapi sebaliknya aku mahu melakukan sesuatu yang lebih meringankan kepala otak aku ketika itu. Sebenarnya aku letih dan penat menghafal ratusan kes undang-undang, kerana itu aku tidak terus mancari kerja yang sesuai dengan kelulusan atau menjalani latihan di firma guaman (chambering) seperti sahabat-sahabat yang lain, tetapi aku melakukan pelbagai kerja hanya untuk mencari pengalaman yang berbeza dan duit poket sudah tentu. 


Langkah pertama yang aku lakukan adalah mencari tempat tinggal, yakni rumah bujang. Untuk sementara, aku mengambil keputusan menumpang rumah saudara sahabat aku yang tinggal di kawasan flat berhadapan sunway pyramid sementara aku mencari-cari rumah bujang yang sesuai. Akhirnya aku menjumpai rumah bujang perempuan yang sesuai dengan harga sewa yang berpatutan. Kini tiba masa untuk aku mencari sumber pendapatan pula, kalau tidak macam mana aku nak bayar segala sewa bagai. Pekerjaan aku yang pertama ialah sebagai seorang minah kilang..hahaha. Aku diterima bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang Western Digital yang pernah bertapak di Petaling Jaya dan ketika itu aku bekerja shift malam dan siang. Wahh...boleh tahan pening kepala aku di buatnya. Pening tu disebabkan jiran yang tinggal di blok bersetentangan dengan blok aku adalah penjual nasi lemak. Ketika aku  shift siang, malamnya aku patut tidur lena untuk bekerja keesokan harinya tetapi makcik tu pukul empat pagi dah menimbulkan bunyi bising dengan sibuk buat persiapan unuk berniaga. Dengan bunyi pengisarnya, dengan nak kisar bawanglah, cililah, aku asyiklah terkejut-kejut tido disebabkan kebisingan itu. Kalau giliran kerja malam, aku sepatutnya tidur siang tapi maklum sajalah kehidupan di flat, masa tu macam-macam bunyi kat keliling rumah flat tu, dengan suara kanak-kanak bermain, dengan rakyat yang turun naik tangga, dengan bunyi ekzos motor, macam-macamlah, jadinya aku selalu pergi kerja dalam keadaan mengantuk dan tak cukup tidur yang berkualiti. Aku ni dahlah susah nak tidur sekiranya ada bunyi-bunyian dan cahaya terang, tak boleh lelap, hanya mampu terkebil-kebil melayan mata. 

Antara sedar dan tidak, aku hanya mampu bertahan selama empat bulan sebagai 'minah kilang'. Aku mengambil keputusan untuk berhenti bukan disebabkan dugaan tak cukup tidur itu tapi aku mengalami alahan gatal-gatal di kulit tangan akibat dari pekerjaan aku. Aku dikehendaki untuk memeriksa setiap kepingan cakera mengikut piawaian yang ditetapkan. Walaupun memakai sarung tangan yang disediakan, tetapi lama-kelamaan kulit aku naik gatal-gatal dan merah-merah. Pada aku tugas yang diberikan sangatlah mudah, hanya duduk di kerusi dan periksa setiap kepingan cakera yang disediakan, kalau giliran kerja malam, kena tahan mata sampai ke pagi. Akhirnya aku berhenti dan bermula pencarian pekerjaan yang kedua....nanti ku sambung lagi ya...bai..bai


N.A.